Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu
bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam
meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia. Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam
bentuk material dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu
bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.
Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu
dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.
1) Memberi nafkah. Terdapat ibu bapa yang
berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas
seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi
untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat. Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau
bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang
dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.
2) Menyediakan tempat tinggal. Dalam kes ibu
bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami, adalah
menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada
ibu bapa. Paling baik jika ibu bapa dibawa
tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka
diuruskan dengan baik.
3) Memberi kasih sayang. Kasih sayang adalah
sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih
sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih
sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya. Anak
yang baik tidak melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa. Anak soleh
sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri
rahmat.
Firman
Allah bermaksud: ?Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua
sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika
kecil.? (Surah al-Isra, ayat 24).
4) Memberi perhatian. Ibu bapa yang diabaikan
akan merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak
diperdulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan.
Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental
ibu bapa. Penerapan amalan memberi
perhatian terhadap ibu bapa perlu disemai, dibajai serta disuburkan dalam
kehidupan masyarakat kita. Kes anak yang membuang ibu bapa semakin meningkat.
Anak memandang jijik terhadap ibu bapa sendiri. Banyak ibu bapa yang
disisihkan dan dihantar ke rumah rumah penjagaan orang-orang tua. Sukar
diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa
mampu menjaga dan membesarkan beberapa orang anak.
5) Memenuhi permintaan. Ibu bapa seringkali
memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu
mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa. Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas
lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding
melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya. Malah
keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan perang.
Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya telah bertanya
kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah? Lalu baginda
bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa? tanya saya lagi. Baginda
menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab
baginda: Berjihad pada jalan Allah.
6) Melakukan apa yang disukai.
Ibu bapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada
pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna
melakukan perbuatan derhaka. Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat
keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan
balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.
Sabda
Rasulullah bermaksud: Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah
zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.(Hadis riwayat Tirmizi).
Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam
bermaksud: Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut
kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu
bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa
hidupnya sebelum mati.
7) Bercakap dengan lemah lembut. Satu cara
menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara
hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.
Firman
Allah bermaksud: Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah
selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah
seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah
sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah engkau
suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.
(Surah al-Israk, ayat 23).
Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata
ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa.
Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan
ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk
menjelaskan keadaan sebenar.
8) Menghadiahkan kejayaan. Ibu bapa sentiasa
mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh
untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan
ibu bapa. Jadi, jika memperoleh kejayaan
dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya,
seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam
majlis untuk meraikan kejayaan itu.
9) Meluangkan masa bersama-sama. Anak yang
tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu
bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah
anaknya.
10) Mendoakan kebaikan untuk
ibu bapa. Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan
mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah
meninggal dunia.
Sabda
Rasulullah bermaksud: Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala
amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi
manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang
soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat
Muslim).
Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa
sebenarnya amat kecil Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya
biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya. Gunakan
kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin.
Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun
ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa
atau salah seorangnya masih hidup.
Sepemergian mereka hanya doa dari anak-anak
yang soleh dan solehah yang mengiringi mereka....
No comments:
Post a Comment